[SH] KULIM - Gara-gara main kayu tiga, sepasang kekasih warga asing
nyaris dicederakan dengan pisau oleh suspek ketika sedang membeli belah
di sebuah pasar raya, kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Saksi kejadian berkata, dia ternampak mangsa bersama kekasihnya
melarikan diri setelah dikejar suspek, sebelum pertengkaran berlaku
antara suspek dan mangsa yang cuba dileraikan pasangan perempuan.
Melihatkan keadaan semakin tegang, orang ramai di tempat kejadian
menghubungi polis untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) dari Balai Polis Kulim yang
sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan pekan Kulim
pergi ke tempat kejadian.
Melihatkan perlakuan suspek yang agresif, polis kemudiannya meleraikan pergaduhan diantara suspek dan mangsa.
Hasil pemeriksaan, polis menemui pisau berwarna hitam yang disimpan oleh
suspek. Kesemua terlibat kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk
siasatan lanjut.
Suspek ketika ditemui berkata, dia tidak berpuas hati dengan sikap teman wanitanya yang curang.
Katanya, sebelum ini dia telah membelanjakan banyak wang kepada
kekasihnya itu bagaimanapun kecewa setelah kekasihnya itu bermain kayu
tiga.
“Kekasih saya sebelum ini tidak pernah menipu atau memberi sebarang
alasan kepada saya sekiranya saya ingin membawanya keluar untuk
bersiar-siar.
"Bagaimanapun sejak kebelakangan ini dia sering memberi alasan sibuk
atau bekerja terutama sekali sekiranya mahu membawanya keluar pada waktu
siang. Saya terkejut apabila menemuinya di sini," katanya.
No comments:
Post a Comment