Pages

Melissa Saila Terkilan Tak Tunai Permintaan Latifah Omar


Melissa Saila Terkilan Tak Tunai Permintaan Latifah Omar

Pemergian mengejut seniwati jelita di era kegemilangan filem hitam putih sekitar tahun 1950an hinggalah 1970an iaitu Latifah Omar telah meninggalkan kesan ramai yang membesar menonton lakonan hebatnya itu.

Namun, ianya lebih dirasai oleh Melissa Saila yang boleh disifatkan agak rapat dengan ratu cantik Singapura 1953 tersebut. Semuanya kerana 50-50, sebuah telemovie arahan Melissa Saila yang juga anak bongsu kepada seniwati Mariani yang telah menampilkan Latifah sebagai cameo di dalamnya.

Melissa Saila ketika dihubungi murai.com.my menyatakan rasa terkilannya apabila mendapat tahu pemergian individu yang dipanggil Auntie Latifah itu tidak sampai satu jam selepas dia melawat wanita itu. Dia terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan Latifah yang mahu melihat lakonannya di dalam 50-50.

"Idea sebenar 50-50 mengisahkan cerita mengenai seorang lelaki yang koma dan sedar selepas berpuluh tahun berlalu. Dia teringatkan tunangnya dahulu yang bernama Azizah dan mahu mencarinya. Azizah kini yang sudah berusia telah dilakonkan oleh auntie Latifah sebagai cameo sekitar Disember tahun lalu.

"Ini merupakan satu-satunya lakonan dia(Latifah) selepas 40 tahun tidak berlakon. Tidak susah untuk menawarkan watak itu d imana saya cuma telefon dan dia bersetuju. Demi saya, dia sanggup buat kerana saya sudah lama kenal dan rapat dengannya.

"Tapi tak sangka dia pergi dahulu. Ketika dia dimasukkan ke hospital kerana koma, saya dan mummy ada melawatnya ketika itu. Walaupun tiada sebarang pergerakan atau ucapan, tetapi reaksi muka dan air matanya itu seakan menyedari kehadiran saya dan ibu tetapi kami tidak tahu adakah dia sedang bersedih ketika itu atau kerana menanggung kesakitan.

"Dan ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya pada sekitar jam 6 petang itu, saya baru sahaja pulang daripada melawatnya. Tidak sampai satu jam saya balik, saya terima panggilan yang mengatakan dia telah meninggal dunia.

"Ketika sihat dahulu, dia ada bertanyakan telemovie 50-50 itu dan mahu menontonnya. Saya terlupa untuk memberikannya salinan dalam bentuk DVD hinggalah akhirnya dia tidak sempat menonton 50-50.
"Itu yang amat saya terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terkahir daripadanya,"ujar Melissa Saila yang rapat dengan Latifah melalui ibunya, Mariani juga pelakon hebat seangkatan seniwati yang sering menjadi heroin filem-filem hitam putih.

Seniwati Latifah Omar meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sekitar jam 6.19 petang, 9 Jun 2013. Allahyarhamah yang berusia 74, dikatakan meninggal akibat penyakit kanser ulser usus setelah dimasukan PPUKM seminggu yang lalu. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur.


No comments:

Post a Comment